Cuba kita tengok balik diri kita. Baju apa kita pakai? Seluar jenama apa kita pakai? Setiap hari makan apa? Senang tak nak dapat makanan? Kat rumah ada kerusi empuk ke tak? Ada TV untuk ditonton? Ada katil yang melantun? Bilik ada aircond? Ada kereta hebat-hebat kat rumah? Berapa buah? Shopping berapa kali sebulan? Handphone jenama apa? Ada laptop? Barang kemas banyak tak? Berapa kali pergi melancong atau bercuti dalam setahun? Cuba tanya balik diri kita semua soalan tersebut.
Kemudian jawab soalan ni: adakah kita ni sebenarnya atau lebih kepada KAYA ke MISKIN?
Siapa pun kita, golongan kaya mahupun miskin di , kita perlu tahu definisi KAYA dan MISKIN yang sebenar. Kalau kita rasa kita mampu hidup senang, cukup makan sekarang ni, tengok balik pada HATI kita. Adakah hati kita kaya? Apakah maksud hati yang kaya? Ianya kaya dengan ketenangan, kelapangan, sifat-sifat mahmudah (terpuji), dan inilah hati yang sentiasa dekat dengan Allah SWT. Atau mungkin kita kaya luaran, miskin dalaman...?
Ramai orang yang hidup mewah tapi langsung tak rasa bahagia yang sebenar. Ada saja yang tidak memuaskan hatinya. Maka jadilah harta dunianya itu sesuatu yang bersilih ganti, namun tidak langsung menenangkan hati. Kereta yang baru dibeli ditukar lagi dengan yang baru tahun selepasnya. Set ruang tamu yang masih cantik ditukar lagi kepada yang lebih cantik kononnya. Duit melimpah ruah, empunya badan bagaikan sesak nafas ditenggelamkan oleh tsunami wang.
Lalu, di mana bahagianya si kaya?
Ada pula orang yang sentiasa rasa dirinya tidak cukup. Tidak cukup makan, tidak cukup pakai, tidak cukup wang untuk membeli bahagia. Dia ingin sekali hidup senang lenang seperti si kaya di bandar. Sampai ada yang menculik merompak untuk kertas yang bernama DUIT. Adakah ini semata-mata kerana mereka MISKIN? Terlalu banyak orang miskin di dunia ini. Namun, tak semua jadi 'jahat'. Kenapa? Orang susah yang tak buat jahat tu tak mahu hidup senang ke? Yang buat jahat tu memang tiada sumber lain ke untuk dia dapatkan wang? Kita yang waras pasti nampak dan setuju: ADA JALANNYA. Lalu, kenapa mereka buta, tak nampak apa yang kita nampak?
Ianya semua bermula daripada HATI, yang mana Rasulullah SAWbersabda:
“Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu (hati).”
Bila hati rasa tak tenang atau tak puas, tidaklah segala harta duniamu itu cukup untuk memuaskannya. Bila hati tidak puas dengan rezeki Allah bagi, tidaklah cukup segala apa yag di depanmu.
Dan bila hati buta, tak dapat melihat jalan rezeki yang halal, maka butalah matanya untuk melihat sengsara orang lain atas perbuatannya yang haram itu.
Hati-hati dengan hatimu..balutlah ia dengan KAIN PUTIH..supaya engkau nampak kotoran padanya walaupun hanya setitik dakwat hitam. Kat mana nak cari KAIN PUTIH tu? Ia ada dalam firman Allah SWT dalam satu hadis Qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.”
(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
Kain putih itu adalah menyempatkan diri untuk beribadah. Apa jua bentuk ibadahmu yang ikhlas pasti akan menghilangkan kotoran di hatimu dan menjadikan: (seperti yang disebut dalam hadis di atas)
1) Hati kita kaya.
2) Sumber rezeki
Dan kerana tidak menjaga hati ini dengan ibadah lah berlaku kesibukan dengan dunia dan tertutupnya sumber rezeki.
Maka, jom kita sama-sama curi masa walaupun dalam kesibukan untuk beribadah kepada Allah. Tak susah...istighfar, tahmid, tasbih boleh dilafaz bila-bila masa, membaca Quran boleh diselang-selikan dengan kerja, solat dengan sempurna, doa dan niatkan setiap perkara sebagai ibadah (contoh: study, bekerja, basuh kain, melayan tetamu), kalau ada kekuatan, amalan sunat jadi hiasan...semoga Allah membersihkan hati-hati kita dari sifat mazmumah (terkutuk) dan membuka jalan rezeki dengan setiap amal ibadah kita, ameen.