Friday, May 4, 2012

Seberapa Nilai Diri Ini?


Oleh: ‘Atiqah Mohamed Ayob, Tahun 1, Kuliah Pergigian, Universiti Al-Azhar, Kaherah
Adakah kita sudah sebati, dengan jati diri anak muda yang diperkosa? Suka-suka memperdagangkan maruah, rela pula bertuhankan hedonisme. Mudah-mudah hayat seorang insan dibakar, dirobek, dibunuh, dicampak, ditetak. Adakah nilai nyawa zaman ini, semakin murah?
Angka-angka jenayah semakin ‘canggih’. Barah pembuangan anak makin parah. Aqidah umat yang makin tergugat, kita rasa lali. Agama yang kita imani diperjudi, kita rasa ‘adi (biasa). Bila teriak-teriak LGBT dan segala bagai kemahuan nafsu manusiawi kita nak terhegeh-hegeh ambil peduli.
Inikah kita?
“Umph. Itu semua berlaku di Kampung A. Bukan di sini.”
“Ops. Dah graduate nanti, baru kita fikir. Sekarang, belajar dulu. Itu yang utama.”
“Sebab si Polana punya pasal lah ni. Pastu, si Polano pon bersengkokol sekali. Kalau si Polanu, mesti tak jadi cam ni.”
Inilah hakikatnya. 
Hidup nafsi-nafsi, aku-aku engkau aku tak peduli. Unjuran hidup cukup untuk hari ini. Hari esok, tunggu nanti. Menuding jari tak henti-henti; dialah yang betul dialah yang salah. Terlupa dirinya sendiri ada nilai. Sampai begitu sekali dihinakan diri?
Sekadar menjadi pemerhati-pendengar-peratap-pengeluh dan sekadar berpeluk tubuh, atas MUSIBAH UMMAH hari ini, tak memadai!
Jentiklah hati.
Kembali kepada Al-Quran, As-Sunnah dan ajaran Islam yang syumul. Bina diri dan bina jati diri umat. Inilah penyelesaian yang sebenar. Seperti mana pihak musuh mempunyai agenda yang begitu terancang dalam melucutkan agama dan identiti kita, maka, seperti itulah juga kita. Bahkan, kita perlu lebih jelas dan rapi. Sudah-sudahlah kita biarkan umat ini diperkotak-katikkan. Apakah kita rela melihat kekalahan Islam disebabkan umatnya yang tak beragenda?
Moche Dayan, seorang jeneral Zionis menyatakan tiga kunci kelemahan umat Islam : Malas. Tak mengkaji sejarah. Tak mempunyai strategi.
Buat anda yang tak redha dengan haru biru dunia hari ini, fikir, rancang dan laksanakanlah segala agenda dan usaha yang anda kira mampu memberi keuntungan buat ummah. Sahutlah tangan mereka yang mahu, tapi kudrat jiwanya lesu. Kejutkanlah mereka yang masih lena, dengan sepenuh kemampuan kita.
“Wahai umat Islam! Zaman ini adalah zaman untuk bangkit dan membangun. Jadi, binalah diri anda supaya anda dapat membina BANGSA anda. Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, anda perlu miliki JIWA YANG BERIMAN dan HATI YANG SEJAHTERA. Jadi, berusahalah untuk memantapkan iman kamu dan memiliki jiwa yang bersih.
Kamu juga perlu mengorbankan HARTA DAN TENAGA kamu. Bersedialah untuk melakukannya kerana apa yang ada pada kamu akan lenyap dan apa yang ada pada Allah akan kekal selamanya. Allah telah membeli jiwa dan harta orang yang beriman dan sebagai balasan, mereka akan beroleh syurga yang seluas langit dan bumi.” – Risalah ‘Ke Arah Mana Kita Menyeru Manusia’ oleh Imam Hasan Al-Banna:
وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ‌ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّہَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka, Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” [at-Taubah :ayat 105]
Dunia Islam yang kita cita-citakan, hanya tertegak bermula daripada diri kita. Setiap inci perubahan yang menimpa, maka, sungguh kita ada nilai peranannya.
Cuma ‘berapakah’ nilai diri kita?

Sumber: website Isma Mesir

No comments: