Friday, May 4, 2012

Komputer, Bersenam Bantu Ingatan


MINNESOTA 3 Mei – Penggunaan komputer dan bersenam secara tetap dapat mengurangkan risiko menghadapi masalah ingatan sehingga 75 peratus, menurut satu kajian baru.
Kajian itu dijalankan oleh Mayo Clinic, badan bukan kerajaan (NGO) pertubuhan penyelidik perubatan dan amalan perubatan terkemuka di Amerika Syarikat (AS).
Penyelidikan itu mendapati, gabungan senaman secara sederhana dengan aktiviti merangsang mental seperti menggunakan komputer, dapat membantu mengurangkan risiko kehilangan ingatan untuk mereka yang berumur 70 tahun ke atas.
Gabungan dua aktiviti itu dapat melindungi fungsi ingatan lebih daripada hanya melakukan satu daripadanya.
Kajian itu melibatkan 926 orang yang berumur antara 70 hingga 93 tahun.
Senaman fizikal sederhana yang dimaksudkan dalam kajian itu adalah seperti berjalan pantas, mendaki, erobik, berenang, yoga, seni mempertahankan diri dan sebagainya.
“Melalui kajian sebelum ini, kami tahu bahawa melakukan satu daripada aktiviti itu dapat membantu menguatkan ingatan, tetapi jika kedua-duanya dilakukan sekali, kesannya lebih besar kerana gabungan aktiviti ini mempunyai hubungan yang sinergi,” kata Dr. Yonas Geda, pakar perubatan di Mayo Clinic di Arizona yang juga anggota Akademi Neurologi Amerika. – AGENSI
Sumber: Mayo Clinic, Portal Myhealth

No comments: