Adalah menjadi rutin harian saya untuk bangun di awal pagi sejak daripada sekolah lagi. Ketika di belajar di MRSM Kuantan dulu, saya bangun seawal jam 4.15-4.30 pagi untuk membaca dan mengulangkali pelajaran. Memang saya adalah seorang yang agak ‘book worm’ semasa muda-muda dulu.
Menjelang subuh biasanya saya akan mengetuk beberapa bilik kawan-kawan yang memesan agar dikejutkan untuk subuh sebelum saya melangkah ke surau untuk melaungkan azan. Ada juga di kalangan kawan-kawan dan abang-abang yang senior yang tak suka dengan ‘bising’ yang saya buat di setiap awal pagi di MRSM.
Di satu pagi Jumaat pada tahun 1980 (form 2 MRSM Kuantan)….
Entah apa kisahnya yang berlaku pada malam sebelumnya menyebabkan saya terbangun lewat pada pagi Jumaat tersebut. Dalam keadaan kelam-kabut saya melihat jam telah pun menunjukkan pukul 5.45 pagi. Tanpa membuat tugasan rutin seperti di pagi-pagi yang lain, saya terus bergegas ke surau dan segera melaungkan azan. Pelik sedikit pagi tersebut kerana ramai kawan-kawan serta adik baru juga yang ketawa dan bersembang-sembang ketika saya bersolat rawatib sebelum subuh.
Apabila melihat jam yang tergantung di dinding baru menunjukkan jam 5 pagi, barulah saya sedar bahawa saya telah melaungkan azan mungkin pada 4.50 pagi tadi. Saya hanya menutup muka kerana malu yang amat sangat kerana jelas kedengaran beberapa pelajar yang bersembang dan ada yang ketawa termasuklah pelajar-pelajar puteri yang masuk ke bahagian belakang surau juga turut kedengaran suara mereka ketawa.
Tiba-tiba masuk Ustaz M yang juga merupakan warden asrama di sekolah pada ketika itu. Dia terus menegur pelajar-pelajar yang bersembang dan menyarankan mereka agar bersolat tahajjud.
Saya dihampiri oleh Ustaz M di dalam keadaan saya masih saya menakup muka sendiri pada ketika itu. “Kenapa ni Zainur, kamu malu ye? Sapa Ustaz M. “Saya malu ustaz, tak tau nak letak muka di mana?” Jawab saya menagih simpati. “Jangan risau kerana kamu dapat pahala. Pertama pahala azan walaupun silap waktu kerana Allah nilai niat dan amalan kamu. Ke duanya, Allah nak memberikan peluang kawan-kawan kamu bersolat tahajjud pagi Jumaat yang mulia ini” Nasihatnya yang begitu melegakan saya.
Terhakis sudah lebih separuh daripada ketebalan kulit muka akibat malu pada pagi tersebut. “Ingat Zainur, kita seharusnya malu dengan Allah dan bukan dengan kawan-kawan. Tapi kamu jangan buat lagi azan jam 4 pagi ye? Ustaz M menutup bicara dengan gurauan yang menyejukkan hati saya.
Terima kasih Ustaz M… Jasa Ustaz mendidik kami di MRSM sehingga kami kenal erti kehidupan dan juga dunia dakwah akan dikenang sehingga ke akhir hayat. Semoga amalan baik Ustaz M diterima dan diganjari dengan Jannah Allah swt.
No comments:
Post a Comment