Assalamualaikum wbt..
Baru-baru ini, 1 tazkirah daripada buku 'Zero to Hero' karangan Solikhin Abu Izzudin benar-benar membuat saya berfikir panjang. Ia mengaitkan diri kita dengan air.
Dalam kehidupan kita di dunia yang singkat ini, sebenarnya kita tidak putus-putus dimotivasikan oleh Allah melalui pelbagai wasilah atau cara,sama ada nyata atau tersirat. Namun, kebanyakan manusia melihat motivasi atau peringatan itu hanya dalam sesetengah perkara, contohnya apa yang menimpa diri mereka. Tidak ramai yang cuba memaksimumkan motivasi-motivasi tersembunyi yang Allah selitkan di setiap masa dan di mana sahaja kita berada.
Tadabbur alam. Apa yang kita boleh dapat daripada alam ciptaan Allah yang sungguh luas ini? Adakah langit itu hanya untuk pilot atau astronomi? Adakah laut itu hanya untuk nelayan atau mereka yang terlibat dengan marine? Adakah tanah itu hanya untuk petani atau archeologist? Tidak. Bahkan alam ini jika ditadabbur, sungguh, ia mampu membangkitkan iman yang lesu, membangunkan semangat yang lemah bahkan menjadi titik tolak perubahan dalam diri seseorang! Bagaimana?
Pernahkah anda terfikir, kenapa para Rasul, Nuh a.s contohnya, seringkali memberi peringatan kepada kaumnya dalam bentuk persoalan tentang alam? Cuba buka tafsir, hayati tafsiran surah Nuh. Nuh a.s memberi peringatan kepada kaumnya supaya mereka berfikir tentang langit, bulan, matahari, tanah, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain. Ini membuktikan bahawa sebenarnya jika kita benar-benar melihat dan berfikir tentang alam, orang yang sebelumnya tidak beriman, dengan mudah akan beriman. Orang yang imannya lesu, akan bangkit dengan penuh segar.
Iman pun mampu dibangkitkan, ini kan pula hanya semangat yang hilang. Begitulah impak alam yang kita hidup di dalamnya setiap hari, begitu besar. Sekiranya hati kita tidak sedikit pun tersentuh dengan keagungan alam ciptaan Allah ini, mungkin kita perlu muhasabah, tengok balik hati kita, amalan kita...terlalu keras atau hitamkah untuk mengambil pengajaran dari bukti keagungan Allah SWT...
Ingin saya sampaikan kembali apa yang penulis tulis tentang air dan bagaimana air menjadi salah satu daripada falsafah hidupnya.
Bila ditanya, apakah air yang bersih? Air yang suci itu sifatnya suci lagi menyucikan, barulah boleh dimanfaatkan oleh manusia. Sebaliknya air kumbahan, atau air longkang, tidaklah memberi manfaat kepada manusia melainkan ia dikitar semula menjadi air bersih yang boleh digunakan. Inilah hakikat insan. Seorang insan sepatutnya memastikan dirinya 'bersih' dahulu sebelum 'membersihkan' orang lain. Jadi nak tak nak, kita seharusnya memperbaik diri sebelum memperbaiki masyarakat sekitar.
Apa akan jadi kalau kita sendiri 'tidak bersih' atau tidak elok akhlaknya tetapi kita nak 'membersihkan' masyarakat? Kita hanya akan menambah penyakit dalam masyarakat, sepertimana manusia boleh terkena pelbagai jenis penyakit jika menggunakan air yang tidak bersih atau tercemar. Ringkas. Mudah difahami. Memberi inspirasi.
Macam-macam lagi iktibar yang boleh kita ambil daripada alam sekeliling, sahabat. Dengan syarat, kita melihat dengan hati, bukan dengan mata yang seakan-akan buta...
No comments:
Post a Comment