Tuesday, May 3, 2011

Kecintaan Agung (Teguran Halus Buat Daei)

Memiliki impian bertemankannya di syurga. Mengharapkan diri memiliki sifat-sifat kesempurnaanya.
Insan yang jelas matlamat hidupnya semata-mata kerana ingin meraih redha Allah pada setiap gerak langkahnya. Menghadapkan cita-citanya memberikan pengislahan kepada umat yang menjadi kecintaannya. Sekalipun perit jalan hidupnya, tidak pernah sekalipun mulutnya lancar membicarakan kalimah kepenatan, keletihan.
Butir-butir keikhlasan dan kemuliaannya jitu terpasak dalam jiwanya. Walau setiap jalan itu ditaburi mehnah yang menyakitkan, yang hanyak layak buat insan yang benar-benar kukuh pergantungannya dengan Allah.
‘Ya Allah, ya Tuhanku, perbaikkanlah kejadianku dan akhlakku.’
Catatan sejarah takkan pernah menolak dan mengingkari keindahan akhlak dan jiwanya. Teguh implementasi yang terzahir, jua mengukuhkan umat pada kebenaran hidupnya yang semata-mata berlandaskan wahyu semata-mata, tidak pernah dicampuri oleh hawa nafsu.
Rasulullah menyatakan :” Seorang mukmin menjadi mulia kerana agamanya, mempunyai keperibadian kerana akalnya, dan menjadi terhormat kerana akhlaknya.” 
(Riwayat Hakim)
Dan Rasulullah juga bersabda yang bermaksud, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.” 
(Riwayat Tirmizi)
Sungguh, kecintaan ini perlu direalisasikan. Bukan hanya manis mulut yang berkata-kata.
Daripada Anas bin Malik, katanya Rasulullah SAW bersabda kepadaku : “Wahai anakku, jika kamu boleh berada pada pagi dan petang dengan iman di hatimu, tiada penipuan terhadap seseorang, lakukanlah.“ Kemudian baginda bersabda lagi : “Wahai anakku, demikian juga dari sunnahku, sesiapa yang menghidupkan sunnahku, ia telah cinta kepadaku dan sesiapa yang cinta padaku, ia pasti bersamaku di dalam syurga.”                               
(Riwayat Tirmizi)
Itulah insan yang jiwanya menolak rasa ketuanan yang melebihkan dirinya dari insan lain. Kukuh penghambaan yang dipasakkan kepada yang berhak, Yang Maha Agung. Sehinggakan kepastian janji Allah yang meliputi ganjaran syurga yang amat pasti itu tidak meletakkan dirinya pada zon keselesaan sekalipun tika bersendirian. Dan di malam-malam sepi itu, dia masih teguh mendirikan ibadah untukNya. Pernah baginda terjatuh, kerana kakinya bengkak disebabkan terlalu lama berdiri. Jasadnya pasrah menanggung kelemahan sekalipun jiwanya menggunung ingin menggapai kecintaan ubudiyyah itu.
Tatkala isterinya melontarkan pertanyaan buat sang suami, “Ya Rasulullah, bukankah dirimu telah dijamin syurga. Mengapakah masih bersusah payah sebegini?” Baginda tenang memberikan refleks, “ Ya Aisyah, bukankah aku ini hanya seorang hamba. Sesungguhnya aku ingin menjadi seorang hambaNya yang bersyukur.
Jiwanya tawadhu’, zuhud memandang dunia persinggahan. Tanpa dilupakannya pada tugas yang terpikul. Dan ikhlas jiwanya tertanam dengan kecintaan buat sasaran pengislahan jiwa itu. “Ummati… Ummati… Ummati…”
Malah kehidupan sehariannya terukir rapi dengan akhlak yang mulia, menghiasi peribadi agung seorang hamba.
Tangannya sendirilah yang menampal pakaiannnya yang koyak tanpa perlu menyuruh isterinya. Tatkala pulang ke rumah, dan didapati tiada makanan yang siap untuk dimakan, baginda tersenyum sambil menyingsing lengan baju dan turut sama membantu isterinya. Malah, baginda sendiri memerah susu kambing bagi keperluan keluarga mahupun untuk dijual.
Pada suatu pagi, baginda pulang ke rumah dengan rasa lapar. Tetapi, dilihatnya tiada makanan untuk dijadikan sarapan. Juga tidak didapatinya makanan mentah kerana Saidatina Aisyah  belum ke pasar.
Lantas baginda bertanya, “ Belum ada sarapan ya Humaira’?”. Saidatina Aisyah menjawab dengan serba-salah, “ Belum ada apa-apa ya Rasulullah.
Tatkala mendengar jawapan sang isterinya, baginda tenang berkata, “jika begitu, aku berpuasa hari ini.” Jawapan yang berbalas tidak sedikitpun disertai dengan perasaan kesal di wajah baginda.
Sebaliknya, Rasulullah sangat marah apabila seorang suami mengasari seorang isteri. Dengan sahutan kata-kata baginda, “Aku tidak bertanya alasanmu, tetapi menanyakan kenapa engkau sanggup memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu.”
Dan sabdanya mengiringi yang bermaksud,  Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya.
Indahnya peribadi Rasulullah. Teramat mulia perilakunya sekalipun baginda adalah seorang pemimpin. Yang sinonimnya tergambar di benak fikiran bahawa pemilikan seorang penguasa adalah sangat luas pada kebendaan dan juga kekuasaan pada taklukan.
Tapi, jiwa baginda tawadhu’ pada merealisasikan kebenaran tarbiyyah Ilahi buatnya. Yang pada satu ketika, baginda mengimamkan solat bersama sahabat. Ketika itu, sahabat-sahabat mendapati kesusahan pada Rasulullah tiap kali baginda ingin berpindah dari rukun ke rukun yang lain serta terdengar bunyi-bunyi yang aneh. Seusai solat, sahabat baginda, Saidina Umar al-Khattab bertanya,
Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah engkau menanggung penderitaan yang amat berat. Apakah engkau sakit ya Rasulullah?
Tidak ya Umar. Alhamdulillah aku sihat dan segar.”
Ya Rasulullah, mengapa setiap kali engkau menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah sendi-sendi tubuh engkau yang saling bergeseran? Kami yakin engkau sedang sakit.
Disebabkan desakan sahabat baginda, Rasulullah akhirnya mengangkat jubahnya. Sejurus itu, para sahabat tergamam melihat perut baginda yang kempis dililit dengan sehelai kain yang berisi batu-batu kerikil sebagai penahan rasa lapar. Justeru, batu-batu itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi aneh ketika solat sebentar tadi.
Para sahabat pun berkata, “ya Rasulullah, adakah bila engkau menyatakan rasa lapar itu dan tidak mempunyai makanan untuk dimakan, kami tidak akan mendapatkannya untukmu?
Baginda menjawab dengan penuh kelembutan,” Tidak wahai para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan kamu korbankan demi Rasulmu. Tetapi, apa jawapanku nanti di hadapan Allah, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban bagi umatnya? Biarlah rasa lapar ini menjadi hadiah buatku dari Allah, agar kelak umatku tiada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih lagi di akhirat nanti.
Subhanallah. Betapa agungnya peribadi Rasulullah sehingga apabila para sahabat ditanya oleh seorang badwi tentang akhlak Rasulullah SAW, lantas para sahabat terus menangis kerana tidak sanggup menggambarkan betapa mulianya akhlak baginda.
Baginda tidak pernah memandang enteng dalam hal yang berkaitan dengan kemanusiaan sehinggakan bagindalah orang yang paling berlemah lembut dengan mereka yang berada di sekeliling, tidak pernah berdendam, penuh kasih sayang dan berhikmah. Malahan, baginda menangis tatkala mengetahui bahawa balasan kekafiran adalah neraka yang menyala-nyala hinggakan baginda berusaha bersungguh-sungguh membawa dan membimbing umatnya mentauhidkan Allah yang Maha Esa.
Sungguh, kecintaan baginda amat tinggi buat umatnya. Tapi, gambaran yang jelas terzahir pada terpesongnya umat hari ini dari jalan petunjuk-Nya membutuhkan golongan yang mampu membantu mengisi jalan dan mendokong serta meneruskan kembali rentetan kecintaan Rasulullah yang menginginkan kebaikan  buat umatnya, sehingga akhirnya kita akan ditemukan kembali dalam keadaan yang tersenyum dan bahagia, bukan sebaliknya yang menjadi natijah pada tiap pilihan hidup yang tersasar dari redha-Nya.
Oleh: Harlequin_mujahidah
Sumber: ISMA-Mesir
Ya Allah..jauhnya jika nak dibandingkan kecintaan daku kepada umat ini berbanding cintamu yang sungguh suci..Moga kita dikurniakan keikhlasan, rasa kasih kepada umat, dan kesungguhan dalam mengislah (memperbaik) masyarakat ini.
Sebahagian daripada kita, apabila melihat kepada maksiat yang berlaku, mungkin lebih laju mulutnya melatah, mengutuk atau memandang hina si pelaku maksiat tersebut. Ya, tidak dinafikan kita benci kepada maksiat/perkara-perkara dosa. Tapi, tidak seharusnya kita membenci si pelaku maksiat itu..kerana mereka memerlukan kasih sayang kita untuk menyelamatkan mereka dari azab Allah SWT. Mungkin mereka tidak meminta kecintaan itu daripada kita, tapi kita yang bertanggungjawab menzahirkan rasa cinta ini.
Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang terbaik dengan kecintaan agungnya terhadap umat ini. Tidak sekalipun Baginda mencerca, berkata kesat mahupun memandang dengan pandangan hina terhadap masyarakat sekelilingnya yang masih belum menerima hidayah.
Wahai daei, hidayah itu milik Allah. Namun, kita yang merasakan beban tanggungjawab ini lah yang perlu menjadi mediator hidayah tersebut. Lalu, bagaimanakah kita mahu 'menghulurkan hidayah' yang suci dengan hati yang penuh benci kepada si pelaku maksiat? Jangan hanya menyebarkan video tentang realiti umat akhir zaman, kemudian membiarkan mereka yang di dalam video tersebut dikutuk dicerca...tetapi tanganmu tidak mengubah apa-apa....
Ya Allah, jauhilah diri kami dari kebencian yang salah..kurniakan kecintaan yang meninggi dalam diri kami agar ummah menyedari betapa kasihnya kami kepada mereka....ameen.


No comments: