Wednesday, March 2, 2011

Isu Vaksin HPV perlu dihadam secara rasional

By:
Dr. Murizah Mohd Zain
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi
Hospital Sultanah Bahiyah


Kanser serviks merupakan kanser kedua yang paling kerap berlaku pada wanita selepas kanser payudara. Di negara-negara maju, kadar kejadian dan kematian disebabkan oleh kanser serviks adalah rendah tetapi di negara kita kadar kejadian dan kematian disebabkan oleh kanser serviks masih tinggi.


Kanser serviks boleh dicegah kerana sebelum sampai ke tahap kanser, ianya akan disusuli oleh sel prakanser dalam tempoh yang lama, manakala organ serviks atau pangkal rahim adalah organ yang mudah untuk dipantau atau diperiksa. Kunci kepada pencegahan ini adalah terletak pada ujian pap smear iaitu ujian calitan pada pangkal rahim yang dilakukan setiap 2-3 tahun sekali untuk mengesan kehadiran sel prakanser. Sekiranya terdapat sel prakanser, rawatan setempat pada pangkal rahim boleh dilakukan dan pesakit mempunyai peluang yang sangat tinggi untuk sembuh sepenuhnya. Kaedah pencegahan secara Pap Smear ini adalah kaedah yang dikenali sebagai pencegahan sekunder.

Persoalannya, apakah yang menyebabkan sel-sel pangkal rahim berubah menjadi prakanser dan kanser? Kajian dan penemuan terbaru pada tahun 1980 oleh seorang saintis Germany menunjukkan 99.7% daripada kanser serviks mempunyai kaitan dengan sejenis virus yang dikenali sebagai Human Papilloma Virus atau HPV. Terdapat lebih dari 100 jenis virus HPV dan ianya boleh dibahagikan kepada 2 kategori iaitu virus HPV yang berisiko rendah (virus berkaitan dengan wart atau kutil) dan virus HPV berisiko tinggi (virus yang berkait dengan prakanser dan kanser).

Hampir 85% transmisi virus ini terjadi secara hubungan seksual. Walaubagaimanapun, hampir 80% dari wanita yang mendapat jangkitan virus ini akan bebas dari jangkitan dalam tempoh 12 bulan melalui mekanisme pertahanan sistem dalam badannya sendiri. Virus yang tidak dapat dinyah akan meyebabkan kesan yang kronik dan perubahan sel menjadi prakanser dan kanser.

Seandainya jangkitan HPV ini boleh dicegah maka kejadian kanser serviks juga dapat dicegah. Vaksin atau immunisasi HPV adalah kaedah pencegahan primer. Pemberian vaksin ini pada wanita yang tidak pernah terdedah kepada virus ini/tidak pernah melakukan hubungan seksual akan meransang sistem imun untuk menghasilkan antibodi. Antibodi ini akan melawan dan menghalang jangkitan virus HPV ke atas wanita tersebut. Vaksin ini akan mencegah hampir 70% daripada kanser serviks, namun ujian Pap Smear masih perlu terus dilakukan.

Walaubagaimanapun, langkah pemberian vaksin HPV pada remaja telah mengundang pelbagai reaksi antaranya ialah seolah-olah pemberian vaksin ini sebagai lesen kepada gejala seks bebas. Ini adalah tidak berasas sama sekali kerana walaupun diketahui virus HPV dikaitkan dengan transmisi secara seksual, namun ianya boleh juga terjadi pada hubungan monogamy. Dalam ertikata yang lain, setiap wanita yang telah berkahwin dan melakukan hubungan seksual mempunyai potensi untuk mendapat jangkitan HPV dan kanser serviks sepertimana ramai dari kita yang telah berkahwin dan dalam hubungan monogamy mempunyai risiko untuk mendapat kanser ini. Justeru itu, pemberian vaksin pada remaja yang belum terdedah kepada hubungan seks boleh menghindarkan virus ini secara efektif.

Isu pemberian vaksin ini tidak sama sekali sama dengan pemberian kondom percuma bagi mengelakkan sebaran HIV kerana pemberian kondom secara terang-terangan menghalalkan hubungan seks bebas dan mengurangkan risiko jangkitan. Vaksin HPV hanya sebagai satu langkah untuk menguatkan pertahanan badan supaya tidak mudah mendapat jangkitan HPV kemudiannya.

Namun begitu, remaja dan masyarakat umumnya perlu diingatkan bahawa risiko jangkitan HPV akan meningkat pada mereka yang mengamalkan seks berbilang pasanagan dan seks bebas. Tambahan pula, pelbagai penyakit tularan seks seperti syphilis, gonorrhea, chlamydia dan berbagai lagi yang boleh merosakkan sistem peranakan wanita dan lelaki boleh terjadi disebabkan oleh salah laku seksual ini. Remaja perlu diperingatkan supaya mengamalkan akhlak yang baik, menjauhi zina kerana kesannya yang mudarat pada diri dan dosa yang besar dari perilaku ini.

Isu kedua yang dibangkitkan ialah kesan samping dari pemberian vaksin ini kerana terdapat kes-kes yang telah dilaporkan di serata tempat tentang kesan samping pemberian vaksin ini. Kita tidak boleh menafikan bahawa setiap vaksinasi mempunyai kesan samping dan sebelum sesuatu vaksin itu diluluskan ianya telah melalui pelbagai fasa ujian untuk melihat dan menimbang baik buruknya vaksin ini pada masyarakat sejagat.

Sehingga Jun 2009, lebih dari 50 juta dos HPV vaksin telah diberi di serata tempat di dunia. Kadar terjadinya kesan samping yang serius adalah 0.05% pada kumpulan yang mendapat suntikan HPV dibandingkan dengan 0.02% pada kumpulan yang tidak menerima suntikan (placebo). Terdapat 18 kes kematian tetapi kematian itu bukan akibat langsung dengan pemberian vaksinasi. Pada April 2009, WHO Global Advisory Comittee telah membuat kesimpulan bahawa vaksin HPV adalah selamat dan kesan samping adalah sangat minima.

Akhirnya, perlu diingatkan bahawa kesan samping terhadap pengurangan insidens kanser serviks ini cuma akan dapat dilihat selepas 10-15 tahun program ini berjalan. Sementara itu, bagi saya seorang pakar sakit puan yang hampir setiap hari melihat kes baru dan susulan kanser serviks di hospital dan melihat penderitaan bukan sahaja pesakit tetapi anggota keluarganya merasakan bahawa vaksinasi HPV adalah aspek pencegahan yang baik untuk dilaksanakan.


Saya juga mengambil kesampatan ini untuk menyeru wanita yang telah berkahwin dan melakukan hubungan seks supaya menjalani pemeriksaan Pap Smear sebagai pencegahan sekunder sebelum terkena penyakit kanser serviks.

Dalam era globalisasi dan teknologi IT, banyak maklumat yang dapat diperolehi tetapi apabila kita ingin menilai maklumat saintifik, terdapat beberapa tahap kajian yang perlu diberi perhatian. ’Observational study’ atau cerapan kes dan kes report menpunyai nilaian saintifik yang paling rendah sedangkan kajian yang mempunyai kes dan kontrol serta kajian yang melibatkan intervention/tindakan menpunayi nilaian saintifik yag lebih tinggi. Maklumat tentang keburukan vaksinasi perlu dinilai sebelum kita membuat sebarang andaian.

1 comment:

jamilatul... said...

thanx..bnyk sgt mklumat yg dikongsikn..